Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Tuhan sekalian Alam kerana
dengan limpah rahmatnya kita dapat meluangkan masa untuk berada di alam
siber ini. Bagi mereka sentiasa berfikir sesungguhnya kekuasaan Allah
Subhanahu wata'ala adalah Maha Agung dan Maha Besar dalam mentadbir alam
yang dengan cukup sempurna dan tiada sebarang kecacatan serta celanya.
Selawat
dan salam ke atas sebaik-baik manusia yang sentiasa namanya di bibir
kita, Nabi Muhammad Shallalahu 'alaihi wasalam, keluarganya serta para
sahabat baginda, para tabi'in, para tabi' tabi'in yang telah bersusah
payah memperjuangkan Islam untuk kita nikmati pada zaman ini.
Mutakhir
ini, kebanyakan orang sudah mula menyedari tentang kewujudan ilmu sains
dan kepentingan mempelajarinya. Banyak penemuan-penemuan kajian
saintifik telah melakarkan seribu satu kisah persoalan yang akhirnya
akan membawa kita kembali kepada Pencipta Yang Maha Agung. Sains
telah membawa kita untuk melihat sendiri dengan mata dan telinga kita
menerusi kajian-kajian ilmiah yang akhirnya kita akur bahawa ada satu
kuasa yang mengawal segala perjalanan di dalam dunia ini tanpa ada cacat
dan celanya. Memang benarlah pepetah Inggeris menyatakan "Science is a sign!" [Sains ialah suatu petanda!]...Persoalannya
tanda apakah yang hendak di bawa oleh sains?..Maka eloklah kita
mengetahui apakah itu ilmu sains terlebih dahulu..
Merujuk kepada Encyclopedia Britanica International London, istilah 'sains' adalah dari bahasa Latin, 'scire' bermaksud 'to know' atau 'untuk mengetahui' dan
sains banyak merungkai berkenaan dengan pengetahuan tentang alam
semesta dan perkara yang berkaitan dengannya. Istilah sains dalam
tulisan Dr. Haji Jamnul Azhar pula menyatakan bahawa, 'sains' merupakan
'sesuatu kajian ilmiah yang dijalankan secara empiris mengikut disiplin
ilmu tertentu melalui alat apparatus tertentu dan ukuran tertentu'.
Menurut
buku Encyclopedia Britanica International London lagi, 'sains terdiri
di atas sesuatu eksperimen dan peninjauan yang tepat bagi menghasilkan
teori'. Apabila teori tersebut benar dan dapat diterima akal, teori
tersebut dapat diguna pakai di dalam pelbagai cara dan percubaan. ini
dikenali sebagai cara saintifik. Pencarian bagi sesuatu fakta dan
prinsip yang baru pula dikenali sebagai sains tulen, manakala penggunaan
dan aplikasi terhadap pengetahuan saintifik di dalam kehidupan dikenali
sebagai aplikasi sains.
Sains
juga terdiri daripada pelbagai cabang dan bidang. Antara bidang sains
yang terkenal dan menjadi tumpuan utama ialah di dalam bidang astronomi,
geologi, fizik, kimia dan biologi. Ilmu astronomi merupakan suatu
cabang ilmu sains yang menrangkan tentang kajian mengenai
bintang-bintang, planet, galaksi dan pelbagai mengenai sesuatu jasad
yang terdapat di angkasa lepas. Istilah astronomi terbit dari perkataan
Yunani iaitu 'astro' yang bermaksud 'kajian tentang bintang'. Ilmu
geologi pula merupakan suatu bidang ilmu yang berkaitan dengan struktur
bumi, iaitu berkenaan batu-batuan yang terdapat di dalam bumi. Fizik
pula ialah suatu bidang ilmu yang berkaitan dengan jirim. Kajian yang
biasa dilakukan dalam bidang fizik ialah seperti pembentukan tenaga,
cahaya, kelajuan dan sebagainya. Bidang kimia merupakan salah satu
bidang sains yang menekankan kajian mengenai kandungan yang terdapat
dalam satu bahan yang ada di dalam bumi. Begitu juga bahan-bahan kimia
dapat dihasilkan di dalam kajian dan eksperimen kimia. Akhirnya bidang
biologi yang merupakan disiplin ilmu sains yang berkaitan dengan
benda-benda hidup.
Keutuhan, penemuan dan perkembangan sains di
dunia kini makin meluas mengikut perkembangan dan keperluan
semasa.Cabang-cabang sains turut bertambah dan kini ia menjadi asas
kepada perkembangan ilmu-ilmu sains masa kini. Ilmu-ilmu seperti biochemistry (biologi dan kimia), astrophysics (astronomi dan fizik) dan geophysics
(geologi dan fizik) kini merupakan perkembangan kepada cabang-cabang
ilmu yang asas tadi. Prinsip asas di dalam bidang tersebut banyak
memberi sumbangan terhadap kehidupan manusia.
Faedah dan
kepentingan sains di dalam kehidupan seharian memang tidak dapat
dinafikan oleh manusia. Sains dapat memberikan satu inspirasi baru
terhadap kehidupan manusia sejagat. Kelebihan dan kemanfaatan bidang
ilmu ini dapat dilihat di dalam ruang perspektif dunia kini. Perubahan
dan ledakan baru akibat dari penemuan-penemuan terkini di dalam disiplin
ilmu sains dapat dipertengahkan dengan melihat teknologi terkini akibat
dari evolusi sains itu. Banyak ciptaan dan rekaan dapat dihasilkan
daripada penemuan sains. Manusia kini bergantung harap kepada
penemuan-penemuan baru bagi meningkatkan lagi tahap keselesaan hidup.
Namun yang demikian, lama kelamaan sains semakin berkembang tanpa had
dan batasan. Penemuan demi penemuan baru dapat ditemui bagaikan cendawan
yang baru tumbuh selepas hujan. Sains kini seperti ombak besar yang
membawa manusia seolah-olah ke alam dan dimensi baru dalam kehidupan
manusia sejagat.
Perkembangan ilmu sains sebenarnya bukanlah
datang dari Barat seperti yang di dakwa oleh sarjana-sarjana dan para
ilmuwan Barat, tetapi ia datang dari para ilmuwan Islam terdahulu.
Perkembangan sains kini hanyalah sekadar usaha memperkembangkan ilmu
yang sedia ada yang asal usulnya datang daripada para ilmuwan Islam.
Kehebatan dan ketinggian ilmu yang diperoleh daripada para ilmuawan
Islam yang terunggul pada abad ke-11, iaitu kesan selepas kejatuhan
empayar Islam Abassiyah di Sepanyol daripada tangan uamt Islam, maka
dapatlah orang-orang Barat mengaut dan mendapatkan khazanah ilmu itu.
Sejarah dunia menerangkan bahawa 'Zaman Kegelapan' atau 'The Dark Ages'
merupakan zaman yang cukup ngeri bagi bangsa Eropah, tetapi pada zaman
itulah merupakan 'Zaman Keemasan' atau "The Golden Ages' kepada umat
Islam.
Ilmu yang menjadi asas kepada orang-orang Barat
sebenarnya merupakan asuhan dari orang-orang Islam sendiri yang
menyebarkan ilmu-ilmu mereka kepada sesiapa sahaja yang ingin
mempelajari ilmu serta penemuan-penemuan terbaru sains. Sebagai satu
contoh Kitab Qanun fi Tibb karangan Ibnu Sina menjadi
rujukan di pusat-pusat pengajian perubatan Eropah selama kira-kira 400
tahun lamanya. Jadi tidaklah benar hakikat bahawa semua ilmu berkenaan
dengan sains itu datang atau lahir dari golongan cendiakawan orang-orang
Barat, tetapi mereka cuma menghadiri kelas sahaja!
Ilmu sains
yang dipelopori oleh cendiakawan Islam ini terus berkembang dengan pesat
dan tersebar dengan adanya keinginan serta kemahuan para pelajar yang
datang dari Eropah ke kota-kota Islam seperti Andalusia, Zahrah dan
Baghdad pada ketika dahulu untuk membawa pulang sebahagian buku-buku
serta ilmu-ilmu yang telah mereka pelajari di sana. Ilmu Islam juga
berkembang pesat seiring dengan perkembangan ilmu sains di dunia Islam
pada ketika itu iaitu sekitar dari tahun 900 hingga 1400 Masihi. Dalam
masa yang sama, Eropah masih berada dalam zaman kemunduran dari segi
keilmuan dan budaya hidup. Pernah seorang ahli syair Eropah yang berada
di Andalusia pada zaman itu mengungkapkan:
"Anak-anak kecil kami masih bermain dengan lumpur,
Sedangkan anak-anak Muslimin di Andalus sudah pandai menulis dan mengira'
Waktu malam kami begitu gelap sekali,
Waktu malam di Zahrah bagaikan siang di sinari cahaya lampu.
Setelah
berlakunya reformasi di kalangan orang-orang Barat, khususnya bagi
orang-orang Kristian Nasrani, mereka mula mengembangkan daya pemikiran
dengan pelbagai binaan , rekaan dan ciptaan baru. Ini semua kesan dari
perubahan cara hidup yang di bawa para graduan dari kota-kota Islam.
Sebagai contoh salah seorang Paderi Agung Kristian yang bergelar
Sylvester II yang giat berusaha merubah gaya hidup masyarakat Itali
pernah belajar di Masjid Qurtubah, Qurtubah (Cordova), Sepanyol.
Antaranya juga terdapat putera-putera raja yang berlumba-lumba
mendapatkan 'pendidikan Arab' seperti yang terkenal dengan kejayaannya
menubuhkan Universiti yang pertama di Eropah, Universiti Constantinople
iaitu Prince Federick II.
Kejayaan merubah cara hidup orang
Eropah inilah telah berjaya mmbuatkan revolusi pertanian bertukar kepada
revolusi industri dan revolusi demi revolusi berlaku di negara Barat
setelah mereka bangkit dari zaman kegelapan yang berlaku hampir lebih
1000 tahun. Tamadun Barat yang didokongi oleh kita semua pada hari ini
seharusnya berterima kasih kepada tamadun Islam yang banyak memberi
peluang dan perubahan kepada dunia Barat pada hari ini.
Hakikatnya,
Islam telah berjaya mengeluarkan Barat dari alam gelap kejahilan dan
kemunduran kepada dunia perkembangan ilmu serta teknologi. Justeru itu,
jika kita seorang Muslimin yang mempunyai akal yang boleh berfikir maka
seharusnya kita berusaha agar kegemilangan masa lampau akan dapat
dikecapi sekali lagi. InsyaAllah......
Rujukan:
1.
Quran Saintifik, Dr Danial Zainal Abidin, PTS Millenia 2009
2.
Menyingkap Keajaiban Al-Quran Mengikut Kajian Sains, Abu ar-Razi al-Ahmadi, Pustaka Ilmi 2002
3.
Hebatnya Al-Quran Jika Kamu Berfikir, Mohd Syamil Mohd Yusuff, Mustread Sdn Bhd 2010